Sunday, November 21, 2010

Suwarnabhumi ( Tanah Melayu Semenanjung Emas )


.(. ka-sana-lah patek, lamun pada Tanah Melayu." Maka titah raja: "Baik-lah Tun Tuah dudok di- .)

Semenanjung Tanah Melayu suatu ketika dahulu digelar oleh pedagang dan pengembara India dengan panggilan SuwarnaBhumi atau Bumi Emas. Plotemy, ahli falsafah dan ilmu alam Yunani pula menggelarkannya Golden Chersonese yang bermakna Semenanjung Emas
.
Mengapa Semenanjung Tanah Melayu digelar sedemikian rupa? Adakah kerana terdapatnya emas dengan banyaknya di sini. Tetapi sesuatu yang pasti ilah semenanjung ini terletak di laluan utama yang menghubungkan dua lautan penting iaitu Lautan Hindi dan Laut China Selatan yang merupakan laluan utama perdagangan dua tamadun besar iaitu tamadun India dan tamadun China.
Pertembungan dua tamadun besar ini telah menampilkan Semenanjung Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan Tenggara Asia ketika itu. Selain daripada bangsa Asia seperti Arab, India dan China, bangsa Eropah meskipun mula hadirnya untuk berdagang tetapi kemudian menjadi tamak lalu mula campur tangan urusan dalaman politik dan seterusnya mencari peluang untuk menjajah.

Selain dari lokasinya yang strategik di tengah laluan utama perdagangan laut, Semenanjung Tanah Melayu juga kaya dengan hasil bumi. Cuacanya yang stabil sepanjang tahun serta kehijauannya subur melambai menjadikan ia lokasi yang menarik untuk dijadikan destinasi niaga dan penenpatan.

Semenanjung Tanah Melayu juga terserlah kaya dengan hasil galian seperti emas dan bijih timah. Penghantaran ufti bunga emas kepada Siam mengesahkan bumi ini kaya dengan emas. Semenanjung Tanah Melayu juga mewah dengan hasil hutan serta bahan-bahan eksotik seperti sarang burung, kayu cendana manakala spesis binatangnya yang pelbagai menjadikan ia tempat memburu yang lumayan.

Namun satu perkara yang tidak kurang menarik adalah keramah tamahan rakyat pribuminya yang sentiasa menghormati tetamu, bermurah hati dan tidak mencari persengketaan, malah cintakan keharmonian dan keamanan yang menjanjikan setiap pengunjungnya kesejahteraan.

Atas sebab-sebab inilah Semenanjung Tanah Melayu digelarkan Semenanjung Emas
kerana layanan emas oleh rakyat pribumi, peluang keemasan dari keuntungan perdagangan serta sememangnya bumi ini kaya dengan emas.

Penyebaran agama Islam di nusantara Melayu bermula pada kurun 13 dan sampai ke kemuncaknya pada kurun ke-16 Masihi turut menyumbang kepada kepesatan ini. Pedagang dari Arab dan India Muslim kebanyakkannya juga adalah golongan pendakwah dan mereka inilah yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di rantau ini. Walau bagaimanapun ada juga bukti yang menunjukkan Islam juga masuk dari timur yakni dibawa dari China, menjalar ke Kemboja dan ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Batu bersurat yang ditemui di Terengganu adalah satu bukti kemungkinannya berlaku sedemikian.

Pedagang Arab dan India Muslim datang ke sini semata-mata untuk berdagang dan berdakwah. Mereka tidak mempunyai niat untuk berpolitik atau menjajah. Oleh kerana itu kehadiran mereka tidak menimbulkan keresahan malah sebaliknya Islam dengan mudah tersebar.

Pada zaman Kesultanan Melayu lama, hak berniaga adalah hak eksklusif raja-raja. Merekalah yang memiliki lombong, memegang hak mengeluarkan hasil hutan, memegang kuasa mengutip cukai termasuklah hak keistimewaan untuk mengekspot segala hasil mahsul. Rakan niaga mereka pula terdiri daripada pedagang Arab dan India Muslim. Dari sinilah pengaruh Islam tersebar serta dari sinilah wujudnya kerjasama antara kedua-dua pihak.

Pedagang Arab selalunya tidak tinggal lama di Tanah Melayu. Mereka menjalankan tanggungjawab dakwahnya dengan mengajar agama seperti fardhu ain dan mengaji Al Quran. Pedagang India Muslim pula selalunya singgah lebih lama dan lebih kerap singgah di Tanah Melayu.

Hal ini mewujudkan hubungan yang lebih akrab antara mereka dengan raja-raja dan ekoran dari itu kebanyakan dari perniagaan raja-raja diuruskan oleh pedagang India Muslim. Merekalah yang menguruskan pengekspotan hasil mahsul kepunyaan raja-raja kerana mereka mendapat kepercayaan raja-raja serta penuh berpengalaman.

Kita biasa mendengar perkataan mamak bendahara dalam kisah-kisah Melayu lama. Mamak bermakna pakcik, disebabkan kemahiran mereka menguruskan perniagaan ada kalangan mereka dilantik oleh raja untuk menjadi bendahara, maka dari sini timbullah gelaran mamak bendahara
.

Kemakmuran di rantau ini telah menjemput pedagang Eropah ke Semenanjung Tanah Melayu, namun kehadiran mereka membawa kesan yang jauh bezanya kalau dibandingkan dengan kehadiran pedagang Asia. Pedagang Eropah datang ke rantau ini dengan tujuan untuk merampas monopoli golongan pedagang Asia dalam perniagaan rempah-ratus. Memandangkan Eropah menjanjikan pasaran yang besar untuk rempah-ratus maka wujudlah syarikat-syarikat dalam bentuk kartel di Eropah yang bertujuan menguasai perniagaan rempah-ratus di Asia. Dari sini timbullah Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Belanda.

Melaka khususnya telah menjadi tumpuan pedagang Eropah. Sebagai pusat perdagangan di Semenanjung Tanah Melayu, Melaka yang diasaskan oleh Parameswara yang berasal dari Palembang telah menawarkan prasarana pelabuhan yang baik yang terlindung dari angin monsun serta pentadbiran shah bandar yang bersistem. Kedudukan Melaka yang terletak di tengah-tengah laluan Selat Melaka menjadikan ia amat strategik. Sikap pemerintah Melaka yang pro-perdagangan memperkukuhkan lagi sebab mengapa Melaka berjaya berkembang pesat menjadi pusat tumpuan pedagang Eropah di nusantara Melayu.

1 comment: